Logo Tentera Udara Diraja Malaysia

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); (Jawi:تنترا اودارا دراج مليسيا ) adalah pasukan udara di dalam Angkatan Tentera Malaysia. Pasukan ini ditugaskan untuk mempertahankan ruang udara Malaysia dan dilengkapkan dengan pesawat-pesawat pejuang dan pengangkut.
Tentera Udara Diraja Malaysia ditubuhkan dalam tahun 1958 sebagai Tentera Udara Persekutuan Malaya. Tetapi sejarah TUDM boleh dikesan jauh lebih awal dengan penubuhan Tentera Udara Sukarelawan Malaya (Malayan Auxiliary Air Force) sebagai cabang tempatan Tentera Udara Diraja Britain di masa penjajahan British.
Pasukan Sukarelawan Udara Negeri-Negeri Selat

Pasukan Sukarelawan Udara Negeri-negeri Selat (Straits Settlements Volunteer Air Force) ditubuhkan oleh pentadbiran British untuk membantu pertahanan Negeri-negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu. Pasukan ini dilengkapkan dengan pesawat Hawker Audax, salah satu varian pesawat Hawker Hart.

Tentera Udara Sukarelawan Malaya
Dalam tahun 1940, dengan ancaman perang dengan Empayar Jepun kian di ambang, pasukan ini dibesarkan menjadi Tentera Udara Sukarelawan Malaya (Malayan Volunteer Air Force (MVAF)) dan menerbangkan pesawat-pesawat yang kebanyakannya terdiri dari pesawat-pesawat awam seperti Tiger Moth, Leopard Moth dan Dragon Rapide. Walaupun pasukan MVAF berjaya melarikan diri semasa Kejatuhan Singapura dalam bulan Februari 1942, pasukan ini musnah semasa peperangan di Sumatera apabila berhadapan dengan pasukan udara tentera Jepunyang jauh lebih besar dan moden.

Tentera Udara Sukarelawan Malaya ditubuhkan semula dalam tahun 1950 untuk membantu operasi-operasi ketenteraan semasa Darurat di Malaya. Unit inilah yang menjadi tunas kepada penubuhan Tentera Udara Diraja Persekutuan Malaya dalam tahun 1958.

Tentera Udara Diraja Persekutuan Malaya

Selepas mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu melihat kepentingan penubuhan sebuah pasukan angkatan udara sendiri untuk pertahanan negara supaya tidak perlu bergantung harap dengan pertahanan yang diberikan oleh pasukan British. Pasukan Tentera Udara Sukarelawan Malaya dijadikan nukleus kepada penubuhan Tentera Udara Diraja Persekutuan Malaya. Satu Enakmen diluluskan di Parlimen dikenali sebagai Ordinan Tentera Udara 1958 yang memberikan kuasa pembentukan sebuah pasukan dikenali sebagai "Tentera Udara Diraja Persekutuan". Seorang pegawai Tentera Udara Diraja British, Air Commodore (Brigadier Jeneral) A.V.R Johnstone dipinjam khidmat kepada Tentera Udara Diraja Persekutuan untuk mengetuai pasukan tersebut dan menjadi penasihat kepada Kerajaan. Air Commodore A.V.R Johnstone kemudiannya dilantik menjadi Panglima Tentera Udara yang pertama. Beliau bertanggungjawab mencorakkan rancangan perkembangan dan pengukuhan Tentera Udara Diraja Persekutuan berserta dengan pengambilan dan latihan kakitangan, aset penerbangan, organisasi dan peraturan-peraturan berkaitan.

Sebagai satu pasukan baru, kebanyakan anggota Tentera Udara Diraja Persekutuan terdiri daripada anggota-anggota uyang dipinjamkan daripada Tentera Udara Diraja British. Walaupun demikian, sebilangan kecil anggota tempatan yang berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja British kemudiannya dipindahkan perkhidmatan ke Tentera Udara Diraja Persekutuan dalam bulan November 1958. Antara mereka yang dipindahkan perkhidmatan ini adalah Flying Officer (Leftenan) Lim Heng Lip, Sergeant (Sarjan) Subramaniam, Corporal (Koperal) Othman Mohd Ismail, CorporalWan Said, Corporal JD Parsley, Corporal Mahadeven, Senior Aircraftman (Laskar Udara Kanan) Surindam, Senior Aircraftman Md Noor, Senior Aircraftman Zainal, Senior Aircraftman Mohd Hussain and Junior Technician (Laskar Udara Kanan) Ismail Ariffin. Beberapa orang anak watan Malaya yang berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Britain dibenarkan berpindah khidmat kepada Tentera Udara Persekutuan Malaya, termasuk (Marsyal Udara) Sulaiman bin Sujak.

Pesawat pertama yang digunakan oleh Tentera Udara Diraja Persekutuan Malaya adalah pesawat pengangkut ringan jenis Scottish Aviation Twin Pioneer yang diberikan nama “Lang Rajawali” (pendaftaran FM-1001) oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman

Pada mulanya TUDM memainkan peranan sebagai sebuah pasukan yang memberikan perkhidmatan komunikasi dan perhubungan di antara formasi-formasi Tentera Persekutuan di samping membantu aktiviti yang dijalankan oleh Tentera Udara Diraja British (RAF) dan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF). Pada ketika ini hanya dua pasukan tersebut mempunyai pesawat tempur yang menyokong operasi ketenteraan khususnya dalam perjuangan menentang pengganas-pengganas komunis semasa Darurat.

Dalam tahun 1960, TUDM memperolehi keupayaan tempur dengan penghantaran 20 buah pesawat CL41-G Tebuan yang dibuat di Kanada. Pesawat ini adalah satu pengembangan pesawat latihan jenis Canadair Tutor, dan diberikan enjin yang lebih berkuasa dan dilengkapkan dengan stesen persenjataan di sayap yang boleh memuatkan bom dan roket. Pesawat Tebuan ini dibahagikan kepada dua buah skuadron, No. 6 Skuadron dan No. 9 Skuadron. TUDM merupakan pengguna tunggal pesawat CL41-G Tebuan .

Dalam masa ini juga TUDM telah menerima penghantaran 29 buah pesawat Aérospatiale Alouette III yang digunakan untuk khidmat perhubungan. (Helikopter ini kemudiannya dilengkapkan dengan meriam 20 mm ataupun mesingan 12.7mm dalam tahun 1970-an untuk memberikannya peranan sebagai pesawat bantuan udara.
Artikel di kutip dari Wikipedia
Previous
Next Post »
0 Komentar