Logo Tentera Laut Diraja Malaysia

 Tentera Laut Diraja Malaysia atau lebih dikenali dengan singkatannya, TLDM, merupakan salah satu cabang Angkatan Tentera Malaysia dan agensi utama yang bertanggungjawab ke atas operasi pengawasan dan pertahanan maritim negara. Penguasaan TLDM meliputi 603, 210 kilometer persegi, (hampir dua kali ganda keluasan daratan Malaysia, 329, 860 km persegi) merangkumi kawasan pesisiran dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE). TLDM juga memikul tanggungjawab mengawal Laluan Perhubungan Laut (bahasa Inggeris: Sea Lines of Communications, SLOC) utama negara seperti Selat Melaka dan Selat Singapura. TLDM turut mengawasi kepentingan negara di kawasan-kawasan yang mempunyai tuntutan bertindih seperti di perairan Spratly. Kehadiran TLDM dapat dilihat di peringkat antarabangsa dalam operasi konvoi yang berterusan di Teluk Aden. Dari segi kekuatan kelengkapan dan keanggotaan, TLDM mempunyai keupayaan yang dikira setanding dengan kebanyakkan negara-negara ASEAN dan mempunyai tentera laut yang ketiga terbesar di dalam gabungan ini. Dengan kekuatan konvensional yang sederhana, TLDM masih masih memerlukan penambahan platform dan kapal-kapal lain untuk beroperasi pada tahap terbaik. Hanya dengan pemodenan berterusan akan memastikan TLDM terus kekal sebagai satu angkatan yang seimbang dan berteknologi tinggi.

Sejarah Tentera Laut Diraja Malaysia boleh bermula dengan pembentukan Tentera Laut Simpanan Sukarelawan Negeri Selat - Straits Settlement Naval Volunteer Reserve (SSNVR)- yang telah ditubuhkan oleh kerajaan kolonial British Negeri-negeri Selat pada 27 April 1934 di Singapura. SSNVR ditubuhkan untuk membantu Tentera Laut Diraja British mempertahankan kawasan perairan Tanah Melayu ekoran perkembangan dan pergolakan politik di Asia di mana Empayar Jepun sedang meluaskan kuasa dan pengaruhnya. Pembentukan sebuah cawangan di Pulau Pinang menyaksikan berkembangnya SSNVR.

Pada 18 Januari 1935, pihak pentadbiran tertinggi (Admiralty) Royal Navy telah menghadiahkan SSNVR di Singapura dengan sebuah kapal korvet kelas Flower, HMS Laburnum untuk berkhidmat sebagai kapal utama dan kapal latihan SSNVR. Kapal ini telah berlabuh di pangkalan di Telok Ayer Basin. HMS Laburnum malangnya telah ditenggelamkan oleh tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.

Apabila Perang Dunia Kedua meletus di Eropah, SSNVR telah meningkatkan pengambilan rekrut bagi mengukuhkan pertahanan Tanah Melayu memandangkan unit- unit Royal Navy diperlukan di medan operasi Eropah. SSNVR juga telah dikerahkan untuk perkhidmatan aktif sebagai unit dalam Royal Navy Malay Section, juga dipanggil Royal Malay Navy ataupun Malay Navy dengan kekuatan seramai 400 orang anggota. Pasukan ini telah menjalani latihan di HMS Pelandok, Sembawang,di Singapura. Keanggotaan Malay Navy kemudiannya meningkat kepada 1450 orang apabila perang meletus di Asia Tenggara.

Sepanjang Perang Dunia Kedua, Malay Navy berkhidmat di bawah tentera bersekutu dan ditugaskan bersama-sama dibawah panji-panji Royal Navy.Laskar-laskar Malay Navy terlibat bersama Royal Navy di medan operasi di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik dan sebilangan mereka terkorban ketika ini. Ramai juga yang telah berkhidmat dengan cemerlang, antaranya ialah Able Seaman Ramli Mohd Said yang telah dianugerahkan pingat Pacific Star oleh kerajaan British. Apabila perang tamat dengan penyerahan kalah Jepun pada tahun 1945 hanya sekitar 600 anggota melapor diri semula. Pada tahun 1947, pasukan Malay Navy yang kecil ini telahpun dibubarkan akibat kemelesetan ekonomi.
Artikel di kutip dari Wikipedia
Previous
Next Post »
0 Komentar